+++ BERITA HIBURAN TEMPATAN +++

By: iezza sweet

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
[<<  <  [1]  2  3  4  5  6  7  8  9  10  >  >>]    [Archive]
Friday, 26-Oct-2007 01:00 Email | Share | | Bookmark
Erra, Emran selamat diijabkabulkan

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon sensasi, Erra Fazira, 33, selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Engku Emran Engku Engku Zainal Abidin, 32, di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, di sini, malam ini.

Dengan hanya sekali lafaz, Emran yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, sah menjadi suami kepada bintang terkenal itu setelah mereka mengikat tali pertunangan pada 7 September lalu.




Selamat Pengantin Baru Emran dan Erra...(Foto The Star oleh Norafifi Ehsan)

Pasangan tersebut telah dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan, Nasroddin Mat Daud di mana Erra diwalikan oleh bapa saudaranya sendiri, Burhanuddin Ridzuan.

Pada majlis tersebut, Emran telah menghadiahkan tujuh dulang hantaran termasuklah mas kahwin sebanyak RM80 berbalas sembilan daripada pihak perempuan.

Antara barangan hantaran oleh pihak lelaki ialah sireh junjung, sebentuk cincin berlian, set barangan kemas, sejadah serta dua naskhah Al-Quran yang diminta sendiri oleh Erra sebagai pengganti wang hantaran.

Manakala antara hantaran oleh pihak perempuan pula ialah cincin, jam tangan, kamera dan baju.

Majlis berlangsung sekitar jam 8.30 malam itu diadakan secara sederhana tetapi meriah dengan kunjungan lebih 500 orang tetamu, terdiri daripada ahli-ahli keluarga, sanak-saudara serta rakan-rakan artis.

Antara rakan artis yang hadir menyerikan majlis ialah dua teman rapat Erra iaitu Umie Aida dan Zahida Rafik serta beberapa artis terkenal tanahair seperti Datuk Aziz Sattar Vanida Imran, Azwan Ali, Nikki, Yanie dan Zul Yahya.


Emran mengucup dahi Erra sebaik pasangan ini sah bergelar suami isteri

Ini merupakan perkahwinan kedua bekas Ratu Cantik Malaysia itu manakala yang pertama untuk Emran.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik sebelum ini pernah mendirikan rumahtangga dengan anggota kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada Jun 2003, namun perkahwinan mereka hanya mampu bertahan selama tiga tahun.

Pasangan tersebut akan melangsungkan majlis persandingan yang akan diadakan oleh pihak lelaki pada 3 November depan.



Thursday, 6-Sep-2007 03:39 Email | Share | | Bookmark
Fauzi Nawawi, Lis Dawati buat kejutan percepat majlis nikah




TIADA angin tiada ribut dan di kala pihak media memberikan tumpuan kepada majlis pertunangan pasangan kontroversi Erra Fazira dengan pasangannya Engku Emran Zainal Abidin, tiba-tiba pasangan pelakon Nisdawati Nazaruddin atau Lis Dawati, 28, dan Fauzi Nawawi, 34, membuat kejutan mengundang pihak media ke majlis pernikahan mereka Ahad lalu.

Sebelum ini, pasangan berkenaan merancang untuk disatukan selepas Aidilfitri pada 25 Oktober depan tetapi tiba-tiba saja mereka mempercepatkan tarikh pernikahan kepada 9 September. Keputusan itu pun dibuat agak mengejut Jumaat lalu setelah keluarga kedua-dua belah pihak berbincang.

Keinginan meraikan keindahan Ramadan dan Syawal bersama seorang wanita bergelar isteri setelah bertahun-tahun hidup bersendirian menyebabkan Fauzi tekad melamar Lis lebih awal.

“Tahun ini saya tidak mahu lagi bersendirian, saya mahu meraikan Ramadan dan Syawal bersama keluarga Lis kerana itu kami memilih untuk mempercepatkan tarikh pernikahan kami.

“Bulan Ramadan menuntut kesabaran setiap umatnya dari segala sudut. Mungkin hubungan kami akan mendapat lebih keberkatan apabila berpuasa dan berhari raya bersama,” kata Fauzi yang mengenakan persalinan baju Melayu berwarna putih gading.

Dengan sekali lafaz, pasangan yang berkenalan sejak setahun lalu sah bergelar suami isteri. Mereka dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Wilayah Persekutuan, Wan Ismail Wan Ahmad, di kediaman pengantin perempuan di Kondominium Setapak Ria. Majlis berlangsung dalam suasana sederhana yang dihadiri saudara mara dan sahabat rapat.

Pada majlis itu, Fauzi menyerahkan mas kahwin bernilai RM999 dan wang hantaran RM21,111. Menurut Fauzi, angka 999 mempunyai simbolik yang tersendiri untuk dirinya.

Katanya, sembilan adalah angka yang paling besar daripada semua nombor. Justeru, ia membawa maksud dia memikul tanggungjawab yang besar sebagai seorang suami.



“Tiga kali sembilan bererti saya harus berpegang kepada tiga perkara yang mustahak iaitu pertama saya harus menjadi seorang lelaki dan suami yang bertanggungjawab, kedua penyabar dan yang ketiga penyayang,” katanya.

Pihak lelaki turut menyerahkan sembilan dulang hantaran yang terdiri daripada minyak wangi, rantai, barang kemas serba berdiri, al-Quran, sejadah, kasut, beg tangan, jam tangan, tepak sirih dan kek. Sementara itu, pihak perempuan pula membalas sebanyak 11 dulang antaranya kain sarung, baju Melayu, sejadah, minyak wangi, kek, sirih junjung, dompet, jam, kasut.

Menyingkap tabir perkenalan mereka, kedua-duanya bertemu ketika penggambaran drama bersiri Amir Aiman. Ketika itu Fauzi adalah pengarah dan Nisdawati pula sebagai pelakon. Dari bertegur sapa, hubungan mereka menjadi semakin akrab. Dari panggilan abang adik, kemudian saya dan awak dan berakhir dengan sayang.

“Saya tidak menjangka hubungan kami berakhir hingga ke jinjang pelamin. Fauzi yang saya kenali seorang yang sangat penyabar. Kematangannya dalam membuat keputusan juga adalah satu satu punca kenapa saya tertarik kepadanya.

“Saya juga tidak kisah dengan status suami seorang duda kepada empat anak. Malah hubungan saya dengan anak-anak abang Fauzi juga rapat. Mereka memanggil saya Ummi, kalau saya dan Abang Fauzi tidak sibuk kami selalu membawa anak-anaknya berjalan,” katanya yang akan tetap meneruskan kerjaya sebagai pelakon di atas keizinan suaminya.

Pasangan berkenaan yang bertunang pada 28 Oktober tahun lalu, akan mengadakan majlis resepsi pada 26 Oktober depan di Dewan Komuniti Ibu Kota, Setapak.

Fauzi yang berasal dari Pantai Remis, Perak pula berkata drama bersiri Cucu Opah Nak Kahwin Sekali Lagi seperti kena dengan dirinya. Ditanya apa yang membuatnya tertarik kepada isterinya, kata Fauzi sikap Lis yang penyabar dan lemah lembut menambat hatinya.

“Ketabahannya menghadapi segala dugaan yang datang dengan tenang menambat hati saya. Dengan dorongan wanita selembut Lis menyebabkan hidup saya tambah bermakna,” katanya.

Ditanya destinasi berbulan madu, kedua-duanya masih belum merancang untuk ke mana memandangkan sibuk dengan penggambaran. Lis kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Pasrah. Mengenai cahaya mata pula, mereka tidak kisah merancang dan bersedia menerima cahaya mata dengan hati yang terbuka.


Wednesday, 5-Sep-2007 02:46 Email | Share | | Bookmark
Erra, Engku Emran bertunang minggu depan


KUALA LUMPUR 29 Ogos – Penyanyi dan pelakon Erra Fazira akan mengikat tali pertunangan dengan Ketua Pegawai Operasi Suria.FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin minggu depan.

Utusan Malaysia difahamkan, pasangan ini akan bertunang pada Jumaat depan di kediaman ibu Erra, Azizah Zaik di Damansara, Selangor.

Menurut sumber, pasangan itu memilih untuk bertunang setelah hubungan mereka mendapat restu keluarga masing-masing.

Tarikh berkenaan juga dipilih sebagai mengambil keberkatan kemuliaan bulan Syaaban menurut kalendar Islam.

Hubungan Erra dan Engku Emran mula diperkatakan umum semenjak Jun lalu setelah aktor Hans Isaac membuat pendedahan mengenainya.

Menurut Hans, hubungannya dengan Erra berakhir kerana pelakon jelita itu memilih Engku Emran sebagai pasangan atas restu ibu aktres berkenaan sendiri.

Jun lalu, Engku Emran dalam satu sidang akhbar pula tidak menafikan hubungan istimewanya dengan Erra yang pada ketika itu baru saja di peringkat mengenali hati budi.

Erra ketika dihubungi bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai tarikh pertunangan ini.

“Insya Allah segalanya akan berjalan dengan baik. Erra akan bagi tahu apabila masanya sudah sampai,” katanya yang pada masa ini sedang sibuk menjalani proses penggambaran semula filem Anak di lokasi.

Baik Erra mahupun Engku Emran sebelum ini mengambil keputusan mendiamkan sahaja kisah percintaan mereka kerana tidak mahu terlalu digembar-gemburkan di media.

Malah, Erra lebih selesa seandainya majlis pertunangan dan perkahwinannya akan datang dijalankan secara sederhana sahaja.

Pihak keluarga juga akan menetapkan tarikh perkahwinan pasangan ini di majlis pertunangan itu nanti.


Wednesday, 29-Aug-2007 01:32 Email | Share | | Bookmark
Penyanyi Dangdut, Haiza & Norhanapfe Omar Kahwin



Penyanyi dangdut, Rohaizah Nordin atau Haiza penyanyi lagu Dag Dig Dug dan boyfriendnya, Norhanapfe Omar bernikah di Masjid Temenggung Daeng Abdul Rahman di Pontian Sabtu lepas. Kedua-duanya berusia 27 tahun kelihatan anggun memakai baju kerawang kuning susu ketika upacara akad nikah disempurnakan oleh Naib Kadi Mukim Benut, Hussain Abdul Rahman. Dengan hanya sekali lafaz, Norhanapfe sah menjadi suami Haiza, yang turut menerima mas kahwin RM22.50 dalam bentuk bunga emas beserta wang hantaran RM22,178. Rombongan lelaki membawa 13 dulang hantaran yang digubah istimewa oleh rakan artis yang merupakan teman baik Haiza, Jaafar Onn dan dibalas 15 oleh pengantin perempuan. Selama lima tahun kami berkenalan dan seterusnya mengikat tali pertunangan iaitu kira-kira setahun lima bulan, ternyata suami Haiza sentiasa memahami kerjanya. Haiza akan pulang ke Kuala Lumpur pada hari ini dan akan mula mengadakan persembahan di Kedah pada 2 September iaitu sehari selepas majlis persandingan di rumah pengantin lelaki di Bukit Baru, Melaka. Majlis persandingan di Kuala Lumpur akan diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC), Bukit Kiara pada 5 September ini.

Kepada Haiza, selamat pengantin baru.




Saturday, 25-Aug-2007 02:00 Email | Share | | Bookmark
Semoga Siti berbahagia



Minggu lalu banyak orang bercakap tentang hal ini. Nampaknya meriah benar sambutan ulang tahun pertama perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Khalid Jiwa.

Senyuman manis tak lekang dari bibir kedua-duanya yang masih lagi dalam suasana bulan madu. Majlis meraikan ulang tahun ini dibuat di sebuah hotel mewah hujung minggu lepas (21 Ogos 2007).

Yang datang pun mewah-mewah belaka nampaknya. Siti serta Datuk K berusaha untuk berkongsi rasa bahagia dan gembiranya dengan khalayak di majlis berkenaan.

Memang banyak yang cakap selepas berkahwin Siti Nurhaliza banyak berubah. Berubah kepada kehidupan yang kelihatan lebih mewah. Sesuai dengan gelaran ‘kaya dan ternama’ yang disandang oleh Siti dan suaminya sekarang.

Selain sudah tidak ‘malu-malu’ memaparkan kemewahan dari hujung rambut ke hujung kakinya, barangan berjenamanya ke sana sini, Siti juga mahu berkongsi kehidupan bahagia dengan semua orang di majlis berkenaan.



Pancaindera harap agar kebahagiaan itu akan kekal sampai ke bila- bila. Sepuluh tahun akan datang, tentunya pasangan ini akan meraikan ulang tahun satu dekad perkahwinan mereka.

Kalau ulang tahun pertama sudah semeriah itu, bagaimana agaknya sambutan ulang tahun satu dekad perkahwinan mereka. Pancaindera menantikan saat-saat itu, ulang tahun perkahwinan Siti dan Datuk K yang ke-10 tahun, 20 tahun dan seterusnya macam ulang tahun kemerdekaan yang ke-50 ini.




[<<  <  [1]  2  3  4  5  6  7  8  9  10  >  >>]    [Archive]

© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net